Di Saat Aku Mengenal Rindu
Aku pernah merantau jauh ke negeri orang,
Hidup sendiri berselimut sunyi.
Aku pernah mengenal cinta,
Menanti waktu bertemu mesra,
Berhati kosong bila sendiri.
Aku sangka aku kenal apa itu rindu,
Aku fikir aku tahu rasa hati bersalut pilu.
Kerana itu aku keliru,
Ketika di makam mu,
Ketika aku bertafakur di masjidmu,
airmataku keluar melulu.
Tanpa diundang, tanpa dirasa,
Menitis bebas tanpa diseru.
Berbulan kemudian aku masih bertanya,
Kepada diri yang tidak mampu bersuara,
Perasaan apakah yang melanda ketika itu,
Berbulan aku menunggu termanggu.
Ia menusuk ke tulang sum sum,
Ia meragut di jantung hati,
Ia mencekam di punca diri,
Akhirnya aku tahu gerangan nama rasa itu,
Namanya rindu, teramat, terlalu,
Rindu kepada Dia yang bersemadi di situ,
Rindu kepada Dia yang mengenalkan aku,
Kepada Tuhan Rabbi yang Satu.
Comments