Ada Melayu


Ada Melayu gagah berani, mempertahan IBU pertiwi.
Ada Melayu bijak bergeliga, menongkah ilmu di segala menara.
Ada Melayu petah berkata, menyulam pesan bertatah senda.
Ada Melayu tarinya gemalai, banyak langkahnya berbagai.
Ada Melayu warak beribadah, berpesan hak dan sabar
Ada Melayu mahukan tenang, di bayu Pagi, di angin Petang.
Ada Melayu beristeri empat, keluarganya bertempat tempat.
Ada Melayu minatnya sejenis, sesama jantan tersenyum manis
Ada Melayu impikan murtad, mahu menyembah palang dan patung.
Ada Melayu menidakkan Illahi, di "tiada tuhan" dia berhenti.
Ada Melayu kukuh imannya, tegap abadi berdiri imannya.
Ada Melayu ayu berbaju kurung, lenggoknya menawan siapa melihat.
Ada Melayu telanjang bulat, di alam maya ditonton sejagat.
Ada Melayu bertingkah pendekar, mantap langkah pasak berakar.
Ada Melayu diperhamba abdi, menanti perintah dia berdiri
Ada Melayu memperbodoh diri, terangguk angguk saban hari.
Ada Melayu tumpas di hujung jarum, di alam mimpi dia mengaum.
Ada Melayu yang sedar diri, berjuang setia hingga ke mati.
Ada Melayu berjihad fisabilillah, mengatur langkah menahan lelah.
Ada Melayu... Ada Melayu...
Adakah Melayu?

Hazidi Abdul Hamid
3 November 2014

Comments

Popular Posts