Berarak Di Pagi Merdeka

Pagi tadi aku lihat mereka berarak di Kuala Lumpur,
Bersama sepanduk, bersama tari gemalai, bersulam bunga pendekar wira,
Aku lihat kanak kanak menari riang, di udara lalu pesawat gempur,
Aku teringat di tepi bendang pada suatu petang, aku duduk dengan kaki berlumpur.
Di wakaf itu, aku mendengar cerita dari mulut seorang wira.
Dia sudah dimamah usia, kulitnya tua berkedut merata.
Dia menunjukkan kepadaku parut peluru hadiah tentera Jepun
Dia menunjukkan padaku langkahnya mengelar leher komunis
Dia mengeluh, katanya dunia tidak lagi ingat akan deritanya dahulu,
Dia terdiam ketika kereta lalu di jalanraya, kereta baru buatan Malaysia.
Kereta yang tidak pernah dinaikinya, kereta yang tidak mampu dimilikinya.
Dia berpaling kepadaku dan meneruskan ceritanya,
Aku lihat ada air disudut mata apabila bicaranya menyebut nama nama,
Saudara kami yang sudah pergi, mangsa bom, peluru dan pedang katana.
Di pinggir Maghrib dia berpesan kepadaku,
Jangan kau lupa asal usulmu.

Selamat Hari Merdeka  
Hazidi Abdul Hamid

21 Ogos 2014, Kuala Lumpur

Comments

Popular Posts