Ketika Tuan Guru Berangkat Pergi
Kelmarin tuan Guru kami berangkat pergi,
Menyambut panggilan Illahi,
Lambaian pasti para insani.
Ketika terputus ajaran Tuan Guru,
Terungkai pelbagai pesan ditenggelami airmata, dibalik raungan memukul dada, tersembunyi disebalik ketaksuban menyanggah segala ilmu ajaran Tuan Guru.
Ketika Tuan Guru menanti untuk dibawa pergi, datang insan pelbagai gelaran,
Mahu mengiring bersama doa,
Memberi hormat terakhir kala.
Maka ramai yang mengaku pengikut lupa kenal antara kafir dan saudara.
Yang parti berlainan warna dihalang dihalau walaupun bin dan syahadah dibibir menari.
Yang parti taut berjabat, dijemput diiring, dinamakan "orang kita" walaupun rela mayat dilangkah sebelum merelakan hukum Illahi.
Maka bersemadilah Tuan Guru yang aku hormati.
Sunyi rasanya madrasah ini walaupun ada muridnya mengganti.
Kesedihan merentap di hati bila mendengar larangan Tuan Guru tiada diingat lagi.
Tanah pusara mahu ditambah saban hari
Kerana diambil segenggam seguni,
Untuk dibikin azimat
Untuk dibuat ubat
Untuk dicari berkat
Untuk dijadikan penyebab sesat.
Jauh di Madrasah sana kedengaran Kitab dibaca. Memunafaatkan ilmu yang Tuan Guru ajarkan.
Semoga suara itu akan menjemput mereka itu kembali.
Comments